Bentley tahun ini membolot gelaran sebagai kenderaan produksi paling pantas dalam acara Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) apabila model Continental GT yang digunakan berjaya memecahkan rekod sebelumnya. Kereta yang dipandu oleh juara tiga kali, Rhys Millen melengkapkan laluan mendaki 19.99 km itu dalam masa 10:18.488, iaitu 8.4 saat lebih pantas berbanding rekod sebelumnya.
Sepanjang mendaki 5,000 kaki melalui 156 selekoh di Pikes Peak, Continental GT yang dikuasakan oleh enjin W12 ini mencatat laju purata 113 km/j. Selain daripada itu, puncak penamat litar ini juga mempunyai tahap ketumpatan udara yang 1/3 lebih tinggi berbanding dengan tempat bermula di bawah.
“Rekod baru ini sekali lagi membuktikan Bentley masih mempunyai semangat dan kemahuan untuk memaksa batasan prestasi automotif sedia ada. Ia juga jelas menunjukkan kemampuan sebenar Continental GT,” kata pengarah sukan permotoran Bentley, Brian Gush.
“Ini adalah satu pengakhiran yang menakjubkan bagi musim 2019 yang basah dan bersalji di Pikes Peak! Kami datang ke sini dengan satu tujuan dalam kepala, iaitu untuk menjadi kereta produksi terpantas mendaki bukit ini dan mencatat rekod baru. Ia adalah satu minggu yang menakjubkan,” kata Millen.
Dalam perlumbaan PPIHC tahun lepas, Bentley juga berjaya mencatat rekod sebagai SUV produksi terpantas melalui model Bentayga yang juga dipandu oleh Millen. SUV mewah itu mencatat masa 10:49.9, iaitu hampir dua minit lebih pantas berbanding rekod sebelumnya.
Source: Read Full Article