BMW X7 G07 kini dibuka untuk tempahan di Malaysia

Ini ada satu SUV besar yang bakal masuk pasaran Malaysia. Betul-betul baru, sebab sebelum ini ia belum pernah dibangunkan; BMX X7. BMW Malaysia melalui hantaran di laman Facebook rasmi mereka semalam mula mengambil tempahan bagi pelanggan-pelanggan yang berminat untuk mendaftar minat mereka melalui pautan yang tertera.

BMW X7 G07 ini merupakan sebuah SUV yang lebih besar daripada X5 yang ada sebelum ini, bertujuan untuk menjadi seperti 7 Series bagi barisan SUV keluaran syarikat Jerman ini. Ia menggunakan platform X5 yang diubahsuai untuk menampung saiz yang lebih besar. X7 ini antara lain akan bersaing dengan model-model seperti Mercedes-Benz GLS, Lexus LX dan Range Rover.

Model ini memiliki ukuran dimensi 5,151 mm panjang, 2,000 mm lebar dan 1,805 mm tinggi, iaitu 229 mm lebih panjang dan 60 mm lebih tinggi berbanding X5 terkini, yang juga bakal tiba di pasaran kita tidak lama lagi. SUV tiga-barisan tempat duduk ini mempunyai jarak roda 3,105 mm, 130 mm lebih panjang berbanding X5 G05. X7 ini juga lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLS.

Enjin pula menggunakan unit 3.0 liter petrol dengan pengecas turbo enam-silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 340 PS dan tork 420 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Malaysia dijangka akan menerima tiga-tempat duduk untuk barisan kedua, dalam bentuk xDrive401 yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.1 saat serta mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

Source: Read Full Article