DS7 Crossback dilancar di Malaysia – dari RM199,888

Dipertontonkan pertama kali ketika KLIMS 2018, dan kemudian disusuli dengan dibuka untuk tempahan,
model SUV DS7 Crossback kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Harga jualannya ialah RM199,888 (atas jalan tanpa insurans) bagi varian Performance Line.

DS7 Crossback merupakan alternatif yang lebih premium bagi model-model seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5, ia juga ingin menggugat kedudukan model-model SUV kompak dari BMW dan Mercedes-Benz. Dari segi rekabentuk, ia memiliki penampilan dengan penggayaan yang tersendiri. Ini termasuklah gril DS Wings yang dipadankan bersama lampu utama LED empat-elemen (dengan ciri Active LED Vision), perincian kemasan yang lebih lebar untuk memisahkan corong laluan udara atas dan bawah, lampu kabus segi empat tepat bersaiz kecil dengan lampu nyalaan siang LED menegak yang menyerlahkan lagi keunikannya.

Melihat kepada profil keseluruhan, garis badan yang jelas pada bahagian depan dan keliling roda menjadikan DS7 Crossback ini kelihatan tegap, dan ditampilkan dengan trim Performance Line, yang merangkumi rim ‘Beijing’ Black Onyx 19-inci. Di belakangnya pula, terdapat lampu yang mempunyai grafik ala berlian, dan kemasan kelabu yang bermula dari bawah lampu tersebut dan bersambung di tengah.

Di dalamnya, tema berlian dikekalkan. Antara elemen yang ditampilkan ciri DS Connect, termasuklah sistem infotainmen serta panel instrumen digital 12.3-inci, corak pada tempat duduk dan juga suis kawalan pada stereng. Penggunaan material Alcantara banyak digunakan pada bahagian dalaman yang merupakan penawaran khas bagi pilihan kemasan Performance Line.

Panel paparan utama pada papan pemuka pula merupakan skrin sesentuh berukuran 12.3-inci, dan di atasnya terletak corong pendingin hawa. Melalui skrin ini, ia menempatkan kawalan bagi sistem pendingin hawa, pemain media dan juga fungsi tunjuk arah.

Turut disertakan ialah pengecas telefon tanpa wayar, sistem bunyi 14-pembesar suara Focal Electra, tempat duduk larasan kuasa, corong pendingin hawa belakang dengan butang kawalan digital, pintu but belakang kawalan elektrik dan jam BRM R180 yang akan tertutup apabila enjin dimatikan.

SUV seberat 1,485 kg ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter THP empat-silinder, dengan janaan kuasa 165 hp pada 5,500 rpm dan 240 Nm dari 1,650 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan, dan pecutan dari sifar ke 100 km/j mengambil masa 10.2 saat. Kelajuan maksimum mampu mencecah 220 km/j, sementara penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 7.5 liter per 100 km.

Bagi aspek keselamatan, DS7 Crossback dilengkapi enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), Anti-Skid Regulation (ASR), Kawalan Kestabilan Dinamik, Amaran Perhatian Pemandu dan dua cagak Isofix untuk tempat duduk belakang.

DS7 Crossback didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun atau 120,000 km. Selain itu, bantuan tepi jalan 24/7 selama lima-tahun juga akan disediakan serta akses eksklusif untuk SkyLounge Naza di Subang Skypark. Terdapat tiga warna yang ditawarkan, iaitu Platinum Grey, Nero Black dan Absolute Red.

Source: Read Full Article