Ducati Scrambler 2019 tiba di Malaysia – empat versi ditawarkan dengan harga antara RM53k hingga RM68k

Sebelum ini, Ducati Scrambler ditawarkan dalam pelbagai versi, tapi untuk tahun 2019, pilihannya dikecilkan kepada empat sahaja iaitu Icon, Full Throttle, Cafe Racer dan Desert Sled. Semuanya sudah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM52,900 untuk Icon, RM62,900 untuk Full Throttle dan RM67,900 untuk kedua-dua Cafe Racer dan Desert Sled.

Antara pembaharuan yang dikongsi untuk semua model Scrambler tahun 2019 adalah termasuk lampu penunjuk arah dan lampu utama LED berserta DRL, klac jenis hidraulik, panel meter yang lengkap dengan penunjuk tahap minyak dan kedudukan gear, Cornering ABS serta tempat duduk baru.

Enjin pula, ia masih lagi dikuasakan oleh unit L-Twin 803 cc yang sama, serta padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Walaupun perubahannya tidak besar, apabila ditunggang, anda akan dapat merasa Scrambler baru ini lebih selesa dan menyenangkan.



Selain daripada itu, setiap satu versi Scrambler 2019 ini juga mempunyai peningkatan lain yang tersendiri. Bagi Full Throttle, penampilannya kini diubah dengan grafik hitam kuning dua tona, bersama jalur putih serta penutup tempat duduk belakang yang berbentuk seperti motosikal lumba. Rekaan pada Scrambler Full Throttle baru ini banyak mendapat inspirasi daripada motosikal lumba flat track dan dapat dilihat pada bahagian tempat duduk, pemegang yang lebih rendah serta ekzos Termignoni yang boleh digunakan atas jalan biasa.

Scrambler Cafe Racer 2019 pula didatangkan dengan rim spoked 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III, dan datang sekali dengan silinder master brake radial seperti motosikal prestasi moden yang lain. Warna gabungan biru pada kerangka dan Silver Ice Matt pada panel badan motosikal ini adalah mendapat inspirasi daripada jentera tahun 60-an, terutamanya 125GP Desmo dan dipasang dengan cermin sisi di hujung pemegang, fairing kecil serta pemegang jenis clip on.

Melihat kepada model Scrambler yang paling berkemampuan untuk meredah jalan offroad pula, iaitu Desert Sled, ia diperbaharui dengan tempat duduk lebih tinggi (860 mm) serta kerangka yang diwarnakan merah. Lengan ayun model ini juga adalah spesifik cuma untuknya dan diperbuat daripada aluminium. Kelengkapan lain yang ada padanya termasuk suspensi boleh laras, padanan rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tayar Scorpion Rally STR dan jarak dari tanah 238 mm.

Kami sudah berpeluang menguji Scrambler Icon dan Desert Sled 2019 ini di Thailand, dan anda boleh membaca laporannya di sini.

Source: Read Full Article