GIIAS 2019: Suzuki Jimny Tough Concept – versi ubahsuai, penuh kelengkapan off-road 'hardcore'!

Ketika berkunjung ke Tokyo Auto Salon tahun ini, kami terpegun kerana terlalu banyak Suzuki Jimny yang diubahsuai dibawa ke acara tersebut. Pelbagai ubahsuai ditampilkan, dari unit yang dibawa sendiri oleh Suzuki digelar Jimny Sierra Pick-up Concept yang kelihatan seperti trak pikap klasik Toyota BJ40, sehinggalah ubahsuai mewah yang menjadikan Jimny kelihatan seakan Mercedes-Benz G-Wagen dihasilkan oleh DAMD, digelar Little G.

Sewaktu Suzuki Jimny ini dilancarkan untuk pasaran Indonesia di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019, satu lagi Jimny ubahsuai yang sengaja dipertontonkan bagi membuatkan peminat mesin off-road kompak ini jiwa kacau, digelar Suzuki Jimny Tough Concept.

Seperti namanya, Jimny ini diubahsuai sebagai jentera off-road yang sangat hardcore. Badannya dicat dengan warna dua-tona hijau-hitam, bukan sekadar dengan kesan matte, malah menampilkan permukaan kasar.

Bampar hadapan dan belakang asal telah dicabut bagi dipadankan dengan bampar besi yang bukan sahaja lebih tahan lasak, malah direka bagi mendapatkan sudut approach dan sudut berlepas lebih besar. Juga pada bampar hadapan, ia dilengkapi dengan bullbar bagi melindungi lampu hadapan dan gril, lampu kabus dan lampu tambahan LED bersama unit winch bina dalam.

Manakala pada bahagian bumbung, satu bar lampu LED dipasang bagi memberikan lebih pencahayaan bagi memudahkan pemanduan di dalam hutan pada waktu malam.

Jika diintai dari bawah, Jimny Tough Concept ini nampaknya diubahsuai dengan begitu ekstensif. Ia lengkap dengan suspensi off-road bagi membolehkan ia berdiri lebih tinggi dan menahan “penderaan” lebih lasak.



Akhir sekali, rim dan tayar asal yang kurus digantikan dengan rim aloi lebih lebar bersama offset yang menjadikan ‘mangkuk’nya lebih dalam, dibaluti tayar ‘lipan’ Giti (Gajah Tunggal) Savero Extreme.

Seperti di pasaran luar Jepun lain, Indonesia menerima Jimny “Sierra” iaitu model dengan overfender lebih lebar, dibekalkan dengan enjin K15B empat silinder 1.5 liter, berkuasa 102 PS/130 Nm. Jimny bukanlah SUV gaya hidup biasa kerana ia dibina di atas platform ladder frame dan menerima sistem 4WD dengan gear 2H, 4H dan 4L.

Kerangka baharu ini menampilkan cross member tambahan bagi menguatkan lagi asasnya ketika dibelasah pada laluan off-road, dan dilengkapi gandar solid dengan tiga hubungan pada hadapan dan belakang, bersama spring gegelung untuk suspensi. Selain itu, ia dibina dengan kelegaan tanah 210 mm, radius pusingan 4.9 meter, sudut approach 37-darjah, ramp breakover 28-darjah, dan sudut berlepas 49-darjah bagi memastikan ia boleh merentas pelbagai permukaan di hutan.

Amacam? Saya sendiri jiwa kacau tengok ni. Anda bagaimana?

Source: Read Full Article