Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019 VTREC-PDRM dilancarkan – sasar kurangkan kecurian kereta

Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini telah melancarkan Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019 di ibu pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi.

Kempen tersebut turut disertai oleh Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) bersama berberapa agensi kerajaan serta bukan kerajaan, dan ia disasarkan untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya kecurian kenderaan serta bagaimana untuk mengelakkannya dari terjadi.

Menurut VTREC, sejumlah 13,340 tuntutan insuran berkaitan kecurian telah dibuat sepanjang tahun lalu, atau merosot 29% berbanding 2017. Jika dilihat sejak lima tahun kebelakangan pula, angka yang dicatatkan tadi sebenarnya telah merudum sebanyak 65%.

Dari jumlah keseluruhan tuntutan tahun lalu tersebut, hampir 60% adalah melibatkan motosikal dengan 7,442 kes. Kereta pula mencatatkan 5,155 kes manakala kenderaan komersial pula direkodkan sebanyak 743 kes.

Jika dilihat dari laporan kecurian pula, motosikal masih lagi mencatatkan majoriti dengan laporan sebanyak 26,779 dibuat dari keseluruhan 35,953 laporan yang dicatatkan pada 2018. Ia diikuti kereta dengan 7,413 laporan dan kenderaan komersial pula mencatatkan 1,761 laporan.


Jumlah berkenaan sekali lagi mencatatkan penurunan, dengan 15% lebih rendah berbanding 2017 dan 49% jika dibandingkan dalam lima tahun kebelakangan. Dari jumlah tersebut juga, terdapat 22 kes telah dijumpai dan diselamatkan di negara jiran, atas usaha sama pihak berkuasa Thailand dan Singapura.

Walaupun angka-angka ini dilihat menurun, ia sebenarnya masih lagi berada pada paras agak tinggi. Secara purata, sebuah kereta akan di curi dalam masa 40 minit di Malaysia buat masa sekarang. Jadi untuk mengurangkan lagi kes kecurian ini, VTREC meminta orang ramai untuk mengambil langkah-langkah sepatutnya.

Antara langkah-langkah berkenaan termasuk sentiasa memastikan kereta dikunci dan tingkap dinaikkan sepenuhnya sebelum meninggalkan kereta, jangan tinggalkan kunci di kereta atau membiarkan kereta hidup tanpa pengawasan, serta sentiasa menggunakan pengunci stereng.

Pemilik juga seharusnya memakir kenderaan mereka di tempat parkir sebenar dan cerah, kerana 50% kecurian dilaporkan berlaku di tempat parkir haram serta gelap. VTREC juga menasihatkan pemilik agar tidak menyimpan geran di dalam kereta serta membiarkan kunci kereta di tempat terbuka yang memudahkan pencuri membuat kerja mereka.

Dalam kempen ini, VTREC menganjurkan pertandingan swafoto menerusi aplikasi Instagram yang menawarkan hadiah tunai, bersama siri jelajah yang turut dirancang di lokasi-lokasi yang akan diumumkan selepas ini.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article