MG Extender – pikap rebadge Maxus T70 dari China dilancarkan di Thai; 2.0L turbodiesel, 161 hp/375 Nm

Jenama ikonik British – MG – yang kini dimiliki oleh syarikat China iaitu SAIC, telahpun mendedahkan dan melancarkan trak pikap baharu mereka digelar MG Extender di Thailand. Trak pikap tersebut bukanlah di bina sendiri oleh MG, sebaliknya adalah model rebadge dari satu lagi jenama di bawah SAIC iaitu Maxus, dan dalam kes ini Extender diasaskan dari Maxus T70.

Tiada perubahan ketara antara MG Extender dan Maxus T70. Pada bahagian luaran, kedua-dua model tersebut hanya dibezakan dengan logo – kesemua logo Maxus telah diubah simbol MG, dan emblem serta pelekat ‘Extender’ di tampal pada tempat-tempat sepatutnya.

Di Thailand, Extender ditawarkan dalam dua bentuk badan iaitu Grand Cab dan Double Cab. Ia juga menampilkan aspek mekanikal yang sama, dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 161 hp/375 Nm. Dalam versi asal Maxus, T70 turut hadir dengan enjin sama tetapi dengan talaan kuasa 215 hp/480 Nm.



Enjin tersebut digandingkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan, mengikut pilihan pembeli. Model asas hanya akan memacu roda belakang, manakala varian lebih tinggi menerima sistem 4WD.

Perincian lain yang turut dipadankan pada trak pikap ini termasuk lampu hadapan LED, tempat duduk balutan kulit, panel dalaman sentuhan lembut, kamera undur dan juga skrin sesentuh bersaiz 10-inci untuk sistem infotaimen. MG Extender juga hadir dengan Amaran Keluar Laluan sebagai salah satu ciri keselamatan yang diterapkan.

MG Extender dijual pada pasaran Thailand dengan harga bermula 549,000 baht (RM75k) untuk versi Grand Cab, dan bermula 759,000 baht (RM103k) untuk model Double Cab.

Kita di Malaysia tidak menerima MG Extender mahupun Maxus T70. Namun pengedar jenama tersebut di sini, Weststar Maxus telah pun membawa trak pikap Maxus T60, iaitu versi sebelum T70 yang dijana enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder turbodiesel menjana 150 hp /360 Nm.

Source: Read Full Article