Toyota GR Supra A90 di Australia habis dijual dalam masa 22 minit – harga bermula RM245k-RM274k

Toyota Australia telah membuka tempahan untuk 100 unit pertama GR Supra A90 untuk pasaran berkenaan pada pukul 12 tengah hari, 19 Jun lalu, dan kesemua unit tersebut habis ditempah dalam masa hanya tujuh minit! Disebabkan permintaan yang begitu tinggi, sejumlah 50 unit tambahan dibuka untuk ditempah, dan ia turut habis pada pukul 12:22 hari yang sama.

Tempahan diterima oleh 63 pengedar rasmi seluruh Australia, dan permintaan terhadap Supra generasi baharu berkenaan turut tinggi di kawasan pedalaman. Pada pasaran berkenaan, Supra A90 ditawarkan dengan dua varian – versi asas GT dijual pada harga AUD84,900 (RM245k), dan juga versi tertinggi Supra GTS berharga AUD94,900 (RM274k).

Menurut Toyota Australia, 80 peratus dari keseluruhan jumlah yang ditempah adalah dari varian tertinggi Supra GTS, manakala warna yang popular dipilih pula adalah Nurburg Matte Grey, diikuti Goodwood Grey, Monza Red dan Fuji White. Pembeli dikenakan bayaran deposit AUD8,000 (RM23k) untuk menempah Supra mereka.



“Kami tahu menerusi kajian yang kami lakukan sendiri terdapat permintaan yang tinggi terhadap GR Supra dalam pasaran. Kami tidak jangka dengan menjualnya secara atas talian akan menjadi isu tetapi kami terkejut bagaimana cepatnya tempahan untuk 100 unit pertama dibuat,” kata naib presiden untuk jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley.

Toyota Australia akan membuka tempahan untuk kumpulan kedua Supra tersebut pada 12 tengah hari 17 Julai 2019, namun jumlah unit yang disediakan masih belum disahkan.

Toyota Supra generasi kelima ini dihasilkan dari platform yang sama dengan BMW Z4 G29. Ia dijana oleh enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris menjana 350 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm. Digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, memacu roda belakang, Supra A90 ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

Sementara itu di Malaysia, UMW Toyota telah mengesahkan bahawa GR Supra A90 turut akan berada di bilik pameran tempatan tahun ini. Sebarang spesifikasi mahupun harga belum lagi didedahkan, namun untuk rekod, ‘Abang Ngah‘ dalam barisan kereta sport jenama itu iaitu Toyota 86 yang dijana enjin 2.0 liter NA dijual pada harga bermula RM258k hingga RM264k.

Source: Read Full Article