VIDEO: Ford F-150 elektrik tarik beban gerabak, 42 trak

Ford ada perkembangan menarik tentang trak besar F-150 yang sangat popular di Amerika Syarikat sana. Model trak pikap itu kini menerima versi prototaip bagi sistem janaan elektrik sepenuhnya, dan ia sudah mula diuji sejak April lalu. Terbaru, Ford telah menunjukkan pula kemampuan menunda bebanan bagi model yang sama.

Memandangkan trak pikap siri F dari Ford ini telah menjadi trak paling laris bagi tempoh 42 tahun lalu, dan untuk itu Ford membariskan 42 unit F-150 2019 untuk ditarik atau ditunda oleh F-150 elektrik prototaip berkenaan, yang diletak di dalam 10 gerabak dua-tingkat dan mencecah berat keseluruhan sekitar 454,000 kg dan 1,000 kaki panjang. Prototaip itu kemudiannya dipandu oleh ketua jurutera F-150, Linda Zhang.

Versi produksi bagi trak berkenaan ketika ini dikuasakan oleh enjin konvensional, seperti unit 3.5 liter turbocas V6 petrol seperti versi pada Raptor yang menjana 450 hp dan 691 Nm, disalurkan kepada pacuan empat rodanya melalui transmisi 10-kelajuan dengan enam pilihan mod pemanduan.

“F-150 elektrik ini merupakan generasi kenderaan Ford yang sangat menarik,” jelas Pengarah Elektrifikasi Ford Global, Ted Cannis. Dan, demonstrasi tundaan beban yang dilakukan terhadap prototaip ini adalah untuk menunjukkan komitmen syarikat untuk terus menjadi pendahulu dalam segmen berkenaan, dan melanjutkannya kepada EV.

Selain model EV bagi trak pikap ini, Ford juga mengumumkan bakal memperkenalkan versi hibrid bagi F-150 yang boleh juga berfungsi sebagai generator mudah alih, sementara ada juga beberapa lagi model EV yang dirancang, seperti model SUV prestasi Mach 1 dan Mustang Mach-E.

Source: Read Full Article