Model kapcai yang semakin popular iaitu Yamaha Y15ZR V2 kini hadir dalam satu edisi terhad yang dipanggil sebagai Y15ZR Ultraman Limited Edition. Ia dijual secara eksklusif oleh Welly Assorted di Rawang, dengan harga RM12,688 (tidak termasuk insurans) dan hanya terhad sebanyak 100 unit sahaja.
Model ini sebenarnya adalah satu produk rasmi berlesen yang diiktiraf oleh ejen perlesenan Ultraman Malaysia, Taigaco dan menggunakan grafik airbrush khas berwarna perak, merah dan disudahi dengan kemasan matte. Kemudiannya, ia juga dipasang dengan tuil brek dan klac aloi boleh laras Rapido, serta penghadang radiator dan pelindung enjin aloi.
Menambah lagi keistimewaannya, Y15ZR Ultraman Edition ini datang dengan plet nombor keluaran khas, dan pemilik boleh memilih nombor yang dimahukan, selagi ia masih ada. Melengkapkan pakejnya, terdapat sijil keaslian, serta kemeja T, poskad dan gambar di sebalik tabir Ultraman.
Yamaha Y15ZR V2 yang digunakan sebagai asas kepada model keluaran terhad ini dipacu oleh enjin enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc serta padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.
Kelebihannya berbanding Y15ZR keluaran pertama adalah bahagian lampu hadapan yang menggunakan bentuk baru dan merupakan nyalaan LED, meter paparan LCD, tayar hadapan lebih besar (bersaiz 90/80), fender depan baru, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch). Harga cadangan pengeluar Y15ZR V2 biasa adalah RM8,168, tidak termasuk insurans.
Source: Read Full Article